Selasa, Februari 03, 2009

CABARAN KEIBUBAPAAN DALAM ERA GLOBALISASI

Keibubapaan adalah tanggungjawab paling utama bagi setiap ibu bapa. Keberkesanan ibu bapa menjalankan peranan mereka akan menyumbang kepada masa depan yang cerah bagi generasi akan datang.

Menurut Raymond Tan Shu Kiah (2002), ketidakupayaan ibu bapa menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik akan mempengaruhi generasi akan datang. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa untuk menjadikan peranan ini sebagai keutamaan mereka dan memperlengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran terkini agar mereka dapat menjalankan peranan ini dengan lebih berkesan.

Pada masa yang sama, peredaran masa dan perkembangan teknologi telah menyebabkan keibubapaan pada masa kini jauh berbeza dengan keibubapaan pada masa lalu. Berbagai cabaran wujud dalam bidang ini yang kadangkalanya memberi kesan kepada interaksi dalam keluarga. Contohnya perkembangan dalam teknologi terutamanya dalam teknologi maklumat telah mengubah cara hidup kita, cara berkomunikasi dan juga pada sistem masyarakat keseluruhannya.

Walau bagaimanapun, beberapa perkara penting sepatutnya kekal terutamanya dalam hubungan keluarga dan juga beberapa peranan asas keibubapaan. Untuk memastikan keluarga kita stabil dan dapat menghadapi perubahan serta anak-anak dapat membesar dengan sihat dari segi fizikal dan rohani, kita mesti mempelajari bagaimana untuk menghadapi perubahan ini secara positif. Kita mesti belajar untuk mengadaptasikan diri dengan perubahan-perubahan ini agar dapat menjalankan peranan kita dengan berkesan. Tugas ini merupakan suatu tugas berat kepada kita sebagai ibu bapa, dan kita harus bekerja keras untuk mencapainya.

Raymond Tan Shu Kiah (2002) berpendapat ramai orang beranggapan bahawa keibubapaan adalah suatu yang semulajadi kerana ia adalah salah satu fungsi yang harus dilalui oleh orang dewasa. Anggapan ini adalah tidak benar kerana keibubapaan yang efektif memerlukan persediaan, pembelajaran dan latihan seperti bidang profesion yang lain. Selaras dengan perubahan masa, kemahiran yang sedia ada harus disesuaikan dengan persekitaran yang baru.
Oleh itu keibubapaan tidak sepatutnya statik tetapi suatu yang dinamik. Untuk memastikan keibubapaan sentiasa efektif, ia mesti boleh menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku disekitarnya.

Membesarkan anak bukanlah suatu tanggungjawab yang mudah. Sejauhmana keberkesanan ibu bapa menjalankan peranannya bergantung kepada interaksi ibu bapa dan anak-anak mereka. Tingkah laku ibu bapa banyak dipengaruhi oleh ciri-ciri ibu bapa tersebut, ciri-ciri anak-anak dan bagaimana hubungan antara ibu bapa dan anak-anak mereka. Oleh itu untuk menjadikan proses keibubapaan lebih efektif, ibu bapa harus memainkan peranan yang penting iaitu mempunyai persediaan yang lengkap dan kebolehan untuk mengadaptasikan diri dengan perubahan-perubahan semasa.

Individu harus mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang lengkap sebelum menjadi ibu bapa. Keupayaan tersebut boleh dicirikan oleh pengetahuan berbagai jenis strategi yang dapat membantu pertumbuhan dan perkembangan anak-anak mereka. Setiap keluarga harus dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan untuk membolehkan mereka mendidik anak-anak mereka dengan lebih baik.

Sebagai tambahan, ibu bapa harus faham dan bersedia untuk mengemaskinikan pengetahuan mereka tentang perubahan pada persekitaran mereka. Sesetengah perubahan ini mungkin memerlukan mereka untuk mengubah corak keibubapaan dan menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut. Ibu bapa yang efektif akan menyediakan anak-anak mereka untuk menghadapi dunia luar, oleh itu untuk menjadi ibu bapa yang efektif mereka harus mengadaptasikan sebahagian corak keibubapaan mereka dengan perubahan terbaru dalam persekitaran mereka.

Pada masa yang sama, perkembangan teknologi sentiasa mengubah cara hidup kita pada masa kini, tidak kira dari hubungan antara satu dengan lain ataupun hubungan dengan persekitaran. Perkembangan teknologi ni juga sedikit demi sedikit menganggu hak individu. Dalam hubungan keluarga, kesan tekologi ini bergantung kepada interaksi dalam keluarga tersebut.
Sekiranya kita mempunyai anak, keibubapaan harus menjadi tanggungjawab utama kita. Didikan dan asuhan kita semasa mereka pada tahap kanak-kanak akan memberi kesan kepada kehidupan mereka apabila mereka dewasa nanti. Kita adalah hasil daripada asuhan ibu bapa kita dan begitu juga anak-anak kita pada masa hadapan. Sebagai ibu bapa kitalah yang akan membentuk personaliti anak-anak kita, selain daripada persekitaran.

Sebagai ibu bapa, kita perlu menyediakan kasih sayang, dan kediaman yang selesa kepada anak-anak. Kita juga perlu berhadapan dengan realiti yang dunia kita pada masa kini menghadapi krisis. Sekiranya kita ingin melihat anak-anak kita mempunyai masa depan yang cerah, kita bertanggungjawab untuk mengubah keadaan pada masa kini. Ini merupakan tanggungjawab yang berat dan mencabar. Namun kerjasama semua pihak boleh mewujudkan persekitaran yang lebih baik. Dengan itu kita boleh membesarkan anak-anak untuk menjadi golongan yang bertanggungjawab dan dapat membantu mewujudkan dunia yang harmoni untuk semua pada masa akan datang.

Anak-anak lahir ke dunia dengan trait fizikal yang berbeza dan cara interaksi yang tersendiri. Tingkah laku kanak-kanak adalah faktor utama yang mempengaruhi proses keibubapaan. Jantina kanak-kanak juga mempengaruhi proses keibubapaan kerana ibu bapa dan masyarakat mempunyai harapan yang berbeza bagi anak-anak lelaki dan perempuan. Stereotaip ini berbeza berdasarkan budaya dan mempengaruhi cara ibu bapa mendidik anak-anak mereka. Hubungan diantara jantina ibu bapa dan jantina juga mempengaruhi cara didikan ibu bapa. Anak lelaki selalunya melihat bapa sebagai yang berkuasa dalam keluarga. Sekiranya ada anak lelaki dan perempuan dalam sebuah keluarga, anak perempuan mungkin kurang mendapat perhatian berbanding dengan anak lelaki, tetapi jika dibandingkan dengan dalam keluarga yang terdiri daripada anak perempuan, bapa mereka lebih banyak melibatkan diri dalam soal keibubapaan.

Sebagai kesimpulannya, saya percaya dalam era globalisasi dan K-ekonomi ini, perkara yang paling penting adalah menyediakan anak-anak yang boleh menghadapi cabaran-cabaran dalam kehidupan mereka. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang penting untuk mendidik dan membantu anak-anak mereka menjadi lebih tabah,adaptif dan boleh menangani perubahan-perubahan yang berlaku pada persekitaran mereka. Dengan kata lain, ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka supaya dapat mengadaptasikan diri dalam dunia tanpa sempadan pada masa kini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HARI JADI GURU BESAR

2009 DALAM KENANGAN

DIKIR BARAT SKSD

SAJAK MERDEKA LOGHAT TERENGGANU

ORANG BERBUDI KITA BERBAHASA

MULIANYA SEORANG IBU

HATI ADALAH CERMINAN DIRI

SURAT SEORANG IBU

BUDI BAHASA AMALAN KITA