Ahad, Jun 07, 2009

Tribute Untuk Ismail Hassan

Hasil Nukilan Tabtibau

Engkau bukan sesiapa, malah mungkin juga tidak punya apa.
Hanya sekadar generasi generasi akhir tukang kebun kerajaan.
Seawal dingin pagi bajumu telah hamis dibasahi peluh merembes
Menegang urat tua mencari kaisan sedikit rezeki tuhan
Bibir manis menguntum senyum menghambat lelah

Hati ini merekah sebak tatkala sampai berita engkau di jemput Dia
Sesaat itu meminarkan akal iman mengarai tiba-tiba sumbangan aku
Buat saudara yang seorang ini

Berimankah aku kerana hanya melihat deritamu, malahan mungkin menambah peritrmu
Berimankah aku kerana senyum manis tatkala hatimu galau runsing
Berimankah aku kerana tidak membelamu malah sekadar mendengar sengsaramu
Berimankah aku kerana hanya melihat sedang akidah mengaku bersaudara
Berimankah aku?

Tidak beriman seseorang dari kamu sehinggalah dia menyintai saudaranya sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri.

Berimankah aku? Maafkan aku Ismail Hassan…..kerana tidak membantumu

Engka pergi tanpa engkau tahu ibumu juga telah dijemput sebelum dirimu

Engkau mungkin kecil didalam lingkungan pagar SKSd
Namun engkau besar didalam hatiku dan teman-temanku
Segala kenangan dan tutur katamu
Terngiang seakan segar menyuburi ingatan

Sakitmu ujian dari tuhan kita
Susahmu seboleh mungkin dikongsi kami bersama

Saat engkau terhinjut-hinjut melaksanakan tuntutan
Tugas dari mereke-mereka itu
Peluh merembes didahi yang berkerut Menahan perit
dan pedih menyelusuri uratmu yang mengusang
menggigit jari kaki yang semakin hilang

“Tak boleh cikgu, kena buat kerja dulu”

Ikhlas dari bibirmu dikala aku menawarkan sedikit rehat
Tidak tahan aku melihat dahimu yang berkerut
Tidak tahan aku melihat betismu bergetar menahan pedih
Tidak tahan aku melihat nafasmu yang semakin pendek

21 Mei 2009, tuhan mengurniakan rehat selamanya untukmu
Dan hujan lebat mendingin mengiringi kepulanganmu
Bersemadi disisi ibu yang sekian lama menyayangi dirimu

Moga kalian berdua dikurnia tuhan kenikmatan.

Alfatihah buat saudaraku ISMAIL HASAN

SENARAI TUGAS GURU BIMBINGAN SEPENUH MASA

4.1.1 Menyediakan rancangan tahunan program dan aktiviti perkhidmatan

Bimbingan dan Kaunseling sekolah.

4.1.2 Mengenalpasti keperluan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling

sekolah melalui kajian keperluan, soal selidik, temubual dan

perbincangan dengan pelajar, guru, pentadbir, kakitangan sekolah, ibu

bapa dan bekas pelajar.

4.1.3 Merancang, mengawalselia dan mengemaskini rekod dan inventori

pelajar.

4.1.4 Mengumpul, menyelia, menyebar maklumat bimbingan dan kaunseling

kepada semua pelajar melalui sebarang media yang sesuai.

4.1.5 Mengelola dan melaksanakan aktiviti bimbingan dan kaunseling

kelompok dan tunjuk ajar (instructional) yang meransang perkembangan pelajar secara optimum.

4.1.6 Merancang, melaksana, mengawalselia perkhidmatan bimbingan dan

kaunseling individu secara profesional dan beretika.

4.1.7. Merancang, melaksana, mengawalselia aktiviti kemahiran belajar untuk semua pelajar.

4.1.8 Merancang, melaksana, mengawalselia serta menilai program dan

aktiviti pemberian maklumat sesuai dengan penawaran pakej pensijilan terbuka dan keperluan IPT.

4.1.9 Menjadi ahli jawatakuasa program pencegahan dadah, inhalan, rokok,

alkohol dan HIV/AIDS.

4.1.10 Merancang, melaksana, mengawalselia serta menilai program dan

aktiviti untuk menyedia dan mendedahkan pelajar kepada peluang

melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dalam dan luar

negara.

4.1.11 Merancang, melaksana, mengawalselia dan menilai program dan

aktiviti perkhidmatan konsultasi dan rujukan berhubung bimbingan dan kaunseling, kerjaya dan pendidikan pencegahan dadah.

4.1.12 Merancang, melaksana, mengawalselia dan menilai program

dan aktiviti konferens dengan ibu bapa , guru ,kakitangan bukan

guru, agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat dalam

proses pendidikan dan perkembangan pelajar.

4.1.13 Membuat penilaian aktiviti modul, model, instrumen dan

pendekatan secara menyeluruh bagi meningkatkan mutu dan

profesionalisme perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekolah .

4.1.14 Merancang, menyelaras dan menilai sumber dan bahan resos

perkhidmatan bimbingan dan kaunseling.

4.1.15 Menjadi urusetia kepada Jawatankuasa Penyelaras Perkhidmatan

Bimbingan dan Kaunseling.

4.1.16 Menjadi penggerak utama dalam program latihan dalaman bagi menyebar kefahaman dan peningkatan profesionalisme perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.

4.1.17 Memberi khidmat kaunseling krisis kepada pelajar, guru, kakitangan dan ibu bapa yang memerlukannya.

4.1.18 Menjadi personel perhubungan / seranta sekolah dengan agensi-agensi luar yang berkaitan .

4.1.19 Menjadi ahli jawatankuasa ex-oficio dalam jawatankuasa kurikulum sekolah dan PIBG.

4.1.20 Menjadi ahli jawatankuasa dalam Majlis Perancangan Sekolah, Disiplin

Sekolah dan Jawatankuasa Lembaga / Badan Pengawas.

4.1.21 Menjadi penyelaras dalam program mentor-mentee sekolah.

4.1.22 Menjadi penyelaras dalam program-program perkembangan pelajar

seperti kolokium, motivas, kem jaya dir, kepimpinan dan kursus

ketatanegaraan.

4.1.23 Menjadi urusetia kepada program Sekolah Selamat, Dasar Pendidikan

Wajib, Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris dan Dasar Bahasa

Tambahan dan Jawatankuasa penempatan ( Kemasukan ) pelajar di

sekolah.

4.1.24 Menjadi penyelaras program-program yang dianjurkan oleh Unit

Bimbingan dan Kaunseling Jabatan Pendidikan Negeri.

4.1.25 Melaksanakan tugas-tugas yang diarahkan oleh ketua jabatan dari

semasa ke semasa.

KITA DAN MEREKA

Hasil Nukilan Tabtibau

Kita sebenarnya berkongsi kehidupan dengan mereka. Masing-masing punya ruang sendiri. Berkongsi dan berjiran adalah kemestian.walaupun tanpa sedar dan diluar kemampuan basar kita. .Ada kalanya, kegopohan akan membawa kita kepada satu pengalaman yang kita tidak sangka akan mengalaminya. Namun, selagi kita mengikut setiap inci ajaran dan adat yang digariskan agama samawi Islam, kita pasti selamat.

Pagi itu, entah silapnya dimana, perut Razman memulas-mulas. Perjalanan dari rumah ke sekolah dengan menunggang motosikal kriss kesayangannya itu terasa begitu lama sekali. Walaupun jaraknya hanya 500 meter, namun disebabkan perut yang memulas dengan tiba-tiba membuatkan masa berlalu begitu perlahan. Berkerut muka Razman menahan dan berusaha untuk menunggang dengan tidak tergesa-gesa.

Setiba dipintu pagar sekolah, dengan keadaan yang tidak selesa, Razman terus memakirkan motor digaraj yang dikhaskan untuk motosikal. Dalam fikirannya cuma satu, hendak ke tandas. Hajat perlu dipenuhi. Dalam keadaan tergesa-gesa, dia melihat jam ditangan. Jam menunjukkan pukul 7.10 pagi. Dia mula merasa galau. Dua kewajipan perlu dipenuhi. Punch card akan merah sekiranya dia melebihi jam 7.15 pagi. Untuk punch card dia terpaksa menaiki tingkat satu bangunan yang menempatkan pejabat pentadbiran. Dan kemungkinan dia terpaksa menunggu kerana cikgu lain juga sedang menunggu giliran untuk puch card. Sedangkan tuntutan kedua sedang menghimpit dan seolah-olah menujah-nujah minta dilepaskan.

Yess, ada penyelesaian. Razman mengeluarkan telefon bimbit. Mendail nombor dan…

“hello Nafi. Engkau tolong punch kat aku. Tak tahan la. Aku nak pegi tandas ni…ok…terima kasih”

Razman bergegas menuju ke tandas. Masa dirasakan amat perlahan. Perjalanan menuju tandas amat jauh pada hari itu. Sempat juga dia terkentut sekali namun segara dikawal agar tidak terhambur keluar sesuatu yang lain.

Akhirnya, Razman sampai ke tandas. Segala-galanya dilepaskan disitu. Tempoh lima minit menahan keperluan semulajadi itu amat menyeksakan. Dalam sesaat, segalanya berakhir. Betullah kata sesetengah orang, tiada yang paling indah di dunia melainkan menunaikan hajat yang satu itu. Walaupun terhidang dihadapan mata makanan yang paling enak, atau perempuan yang paling cantik, andai bertembung dengan keperluan mengqada’ hajat, pasti yang ini didahulukan. Tidak penting lagi makanan yang enak. Tidak memukau lagi perempuan yang jelita.

Setelah selesai, tatkala mengemaskan pakaian, Razman mendengar tapak kasut melangkah kedalam tandas. Sebentar kemudian kedengaran air paip disinki dipasang. Setelah mengemaskan diri, Razman membuka pintu tandas dan terpandang Nafi sedang membongkok di sinki. Seperti sedang berkumur. Air paip terpasang deras dan sedikit terpercik. Hari itu, Nafi mengenakan kemeja biru dengan belang putih halus memanjang kebawah. Trend masa kini. Berseluar slack hitam.

“dah puch untuk aku ke Fi?” Razman bertanya sambil masih lagi mengemaskan baju agar lebih segak.

Hmmmm

“kuatnya engkau buka paip tu. Tak memercik ke?

Hmmmm

Razman berpaling. Nafi masih lagi membongkok. Terdengar bunyi seakan berkumur. Kasar dan menggelegak.

“Ok lah Fi. Terima kasih. Aku masuk bilik guru dulu ek” Razman berlalu disebelah Nafi. Sempat dia menjeling namun wajah Nafi sedikit terlindung disebalik bahu kerana menunduk. Terdetik rasa hairan dihatinya. Biasanya bukan main banyak bercakap. Sepatah ditanya 20 patah yang dijawab. Tapi hari ini sekadar hmmm sahaja. Ada masalah la tu kot, bisik hati Razman.

Razman menuju pintu. Sebaik melangkah keluar dari tandas, dia membelok kekiri hendak menuju tangga untuk turun ke bilik guru, dia disergah

“woi..engkau makan apa sampai tak sempat-sempat nak melabur. Tu la. Lain kali jangan makan sorang. Kongsi la”

Razman menjenguk. Tuan punya suara yang melaung dari bawah di padang perhimpunan ditenungnya. Razman memegang dinding koridor yang separas pinggang sambil memandang kebawah. Sebentar kemudian dia berpaling memandang tandas dibelakangnya. Air paip masih berbunyi. Suara menderam berkumur masih jelas kedengaran. Sebentar kemudian dia memandang kebawah, kearah padang perbarisan. Nafi tersengih-sengih. Baju dan seluar sama dengan lelaki didalam tandas. Dan Razman yakin, dia melihat Nafi di dalam tandas tadi.

Razman terpaku. Air paip masih berbunyi. Suara berkumur masih menderam. Dan Nafi tercengang-cengang melihat Razman yang pucat di birai koridor tingkat satu. Terpaku dan dengan tengkuk yang dirasakan meremang baru Razman teringat, dia tidak membaca doa sebelum dia masuk ke tandas. Sejurus kemudian dunia menjadi gelap. Razman pengsan didepan pintu tandas.

IZINKAN DIA BERUBAH

Hasil Nukilan Tabtibau

Dia seorang pelajar yang dipenuhi rekod disiplin yang teruk. Seolah-olah, setiap perbuatan yang dikategorikan salah, telah dia buat. Bermula dari ponteng, merokok, bergaduh, menghidu gam sehinggalah menubuhkan kumpulan seakan gengstar. Dia telah dua kali terperuk didalam bilik soal siasat polis. Diherdik, ditengking malahan dipukul dengan kayu hoki, dia tetap berdegil dan menafikan setiap pertuduhan. Akhirnya lepas. Dan dia tidak pernah serik.

Pernah suatu hari, sewaktu bermain terup disebuah rumah kosong yang biasa dijadikan markaz, sampai berita kepadanya bahawa adiknya yang bersekolah ditingkatan 2 sebuah sekolah menengah dibelasah oleh musuhnya. Balas dendam yang tidak adil. Namun, dia tidak bingkas bangkit. Dia tidak melatah. Dia hanya bertenang. Namun keesokannya, sewaktu melintas perhentian bas, untuk pergi ke kedai membeli rokok, dia melihat pelajar yang membelasah adiknya kelmarin. Dan memang itu pantangnya. Dia boleh sabar kalau tidak terserempak. Tapi, darahnya cepat mendidih bila dia bertembung dengan orang yang sudah membuat hal dengannya.

Tanpa sedar, perlahan tangan kanannya menyeluk poket belakang. Jari jemari dimasukkan kedalam tempat pemegang buku lima yang berbentuk seperti tapak harimau. Setelah kemas digenggam, dia menarik keluar perlahan sambil kaki melangkah ke arah pelajar yang sedang bersembang dengan beberapa orang rakan. Sedangkan dia sendirian. Hati panas membara. Dia tidak kira. Adiknya pasti dibela, tegas hatinya. Buku lima telah digenggam. Darah kering masih kelihatan bertempelan. Memang itu tabiatnya. Darah mangsa yang pernah terkena buku lima itu tidak dibersihkan. Biar jadi koleksi. Dan hari ini, akan bertambah lagi satu tempelan darah.

Setelah hampir, perlahan dia menepuk bahu pelajar itu dengan tangan kiri dari belakang. Pelajar itu berpaling, dan saat itulah dia menghayun sekuat hati buku lima yang sedia tergenggam. Tepat ditepi mata kanan. Pelajar itu meraung. Tumbang ke lantai sambil memekup muka. Darah bersemburan keluar dari luka pecah bekas buku lima. Dan dia berjalan penuh selamba menuju kedai membeli rokok sambil menyimpan kembali buku lima ke dalam poket belakang. Seakan tiada apa berlaku. Dan rakan-rakan pelajar tadi hanya sekadar terpegun.

Itulah dia. Seorang pelajar sekolah menengah agama yang tewas dengan nafsu dan hanyut dalam satu nilai respek dikalangan manusia yang tiada maruah.

Hari itu, guru-guru mengadakan mesyuarat tergempar bagi menentukan nasibnya. Pihak sekolah sudah habis memberi peluang. Pihak sekolah sudah habis bersabar. Terlalu banyak arang yang telah diconteng kepada sekolah menengah agama. Mudir segera memanggil mesyuarat tergempar. Dan dia mencuri-curi dengar perjalanan mesyuarat dengan mencangkung ditepi tingkap belakang sekolah, berhampiran bilik mesyuarat.

“Ana sudah kering sabar. Ana rasa, kita buang saja pelajar ini. Kes-kesnya bukan kecil. Malah sampai memukul pelajar sekolah menengah kebangsaan” suara mudir berderau garau.

“Saya setuju. Dengan rekod begini, Pejabat Pelajaran Daerah pun akan menerima tindakan kita membuang pelajar ini” cikgu disiplin pula bersetuju.

“Tapi ana tak setuju,” terdengar satu suara membantah. Dia kenal suara itu. Itu suara ustazah Fauziah.

“SPM lagi satu minggu. Setelah habis SPM, murid ini akan menduduki SMU pula. Berilah dia peluang,” lembut dan penuh pengharapan suara Ustazah Fauziah.

“Saya dah tak larat. Ustazah bolehla cakap sebab tak terlibat dengan soal disiplin. Tapi saya ni yang separuh gila melayan karenah pelajar ni. Setiap hari ada sahaja kerenahnya. Bergaduh sudah tentu. Lebih padah bila bapa murid yang dipukul itu datang menyerang saya disekolah,”guru disiplin membantah keras pandangan ustazah Fauziah.

“Ikutkan saya, masa dia tingkatan 3 lagi saya dah buang dia,” sambungnya lagi.

Dia terdiam. Terpaku mendengar perbahasan hangat itu. Boleh dikatakan semua guru yang hadir bersetuju dia dibuang sekolah meskipun SPM tinggal lagi seminggu. Guru-guru sudah cuak dengan perangai dia. Sudah muak dan mual. Hanya ustazah Fauziah yang masih cuba membela. Dan segalanya berubah apabila ustazah Fauziah berkata :

“Ana mengharapkan, selama dia berada dalam sistem pendidikan, dia akan terus mendapat sedikit titisan ilmu, apatah lagi di sekolah menengah agama yang mengajarkan agama. Moga-moga ada satu saat, yang kita tidak tahu bila, masuk satu ilmu yang berkat yang mampu mengubahnya. Namun sekiranya kita menyingkirkan dia dari sistem pendidikan, maknanya kita sengaja membiarkan dia terus terkontang kanting dan terus dengan hidupnya yang tidak keruan. Dan pabila itu terjadi, sedikit sebanyak kita juga punya saham kerana menghalaunya kelorong gelap. Dan ana tak sanggup memikul kesilapan ini dihadapan Allah di akhirat nanti. Betul dia salah. Tapi kita ini pendidik harus sabar. Adanya pelajar seperti itu sebenarnya ujian dari Allah kepada kita warga murabbi. Izinkan pelajar ini terus di sini sehingga selesai pelajarannya. Sesudah itu terpulang pada dia memilih jalan hidup. Tugas kita selesai dan insya Allah, kita mampu menjawab pabila kelak ditanya Allah.,”

Begitu murni hati ustazah Fauziah. Dan setitis ilmu berkah itu pantas menerjah kelubuk hati dia. Terharu kerana ada orang masih mahu membela dia.

Mulai hari itulah dia berubah. Berubah bukan kerana ketegasan undang-undang yang mahu menghukumnya, tetapi kerana kelembutan hati seorang yang sedar betapa besarnya dan luasnya usaha dakwah. Hari ini, dia pula berdiri sebagai pendidik. Mengumpul segala pengalaman silam, diadun dalam satu acuan, dan………sedaya upaya untuk tidak menghukum. Setiap manusia harus ada peluang untuk berubah.

“Terima kasih ustazah….,” hatinya melafaz syukur……

HARI JADI GURU BESAR

2009 DALAM KENANGAN

DIKIR BARAT SKSD

SAJAK MERDEKA LOGHAT TERENGGANU

ORANG BERBUDI KITA BERBAHASA

MULIANYA SEORANG IBU

HATI ADALAH CERMINAN DIRI

SURAT SEORANG IBU

BUDI BAHASA AMALAN KITA