Ahad, Jun 07, 2009

IZINKAN DIA BERUBAH

Hasil Nukilan Tabtibau

Dia seorang pelajar yang dipenuhi rekod disiplin yang teruk. Seolah-olah, setiap perbuatan yang dikategorikan salah, telah dia buat. Bermula dari ponteng, merokok, bergaduh, menghidu gam sehinggalah menubuhkan kumpulan seakan gengstar. Dia telah dua kali terperuk didalam bilik soal siasat polis. Diherdik, ditengking malahan dipukul dengan kayu hoki, dia tetap berdegil dan menafikan setiap pertuduhan. Akhirnya lepas. Dan dia tidak pernah serik.

Pernah suatu hari, sewaktu bermain terup disebuah rumah kosong yang biasa dijadikan markaz, sampai berita kepadanya bahawa adiknya yang bersekolah ditingkatan 2 sebuah sekolah menengah dibelasah oleh musuhnya. Balas dendam yang tidak adil. Namun, dia tidak bingkas bangkit. Dia tidak melatah. Dia hanya bertenang. Namun keesokannya, sewaktu melintas perhentian bas, untuk pergi ke kedai membeli rokok, dia melihat pelajar yang membelasah adiknya kelmarin. Dan memang itu pantangnya. Dia boleh sabar kalau tidak terserempak. Tapi, darahnya cepat mendidih bila dia bertembung dengan orang yang sudah membuat hal dengannya.

Tanpa sedar, perlahan tangan kanannya menyeluk poket belakang. Jari jemari dimasukkan kedalam tempat pemegang buku lima yang berbentuk seperti tapak harimau. Setelah kemas digenggam, dia menarik keluar perlahan sambil kaki melangkah ke arah pelajar yang sedang bersembang dengan beberapa orang rakan. Sedangkan dia sendirian. Hati panas membara. Dia tidak kira. Adiknya pasti dibela, tegas hatinya. Buku lima telah digenggam. Darah kering masih kelihatan bertempelan. Memang itu tabiatnya. Darah mangsa yang pernah terkena buku lima itu tidak dibersihkan. Biar jadi koleksi. Dan hari ini, akan bertambah lagi satu tempelan darah.

Setelah hampir, perlahan dia menepuk bahu pelajar itu dengan tangan kiri dari belakang. Pelajar itu berpaling, dan saat itulah dia menghayun sekuat hati buku lima yang sedia tergenggam. Tepat ditepi mata kanan. Pelajar itu meraung. Tumbang ke lantai sambil memekup muka. Darah bersemburan keluar dari luka pecah bekas buku lima. Dan dia berjalan penuh selamba menuju kedai membeli rokok sambil menyimpan kembali buku lima ke dalam poket belakang. Seakan tiada apa berlaku. Dan rakan-rakan pelajar tadi hanya sekadar terpegun.

Itulah dia. Seorang pelajar sekolah menengah agama yang tewas dengan nafsu dan hanyut dalam satu nilai respek dikalangan manusia yang tiada maruah.

Hari itu, guru-guru mengadakan mesyuarat tergempar bagi menentukan nasibnya. Pihak sekolah sudah habis memberi peluang. Pihak sekolah sudah habis bersabar. Terlalu banyak arang yang telah diconteng kepada sekolah menengah agama. Mudir segera memanggil mesyuarat tergempar. Dan dia mencuri-curi dengar perjalanan mesyuarat dengan mencangkung ditepi tingkap belakang sekolah, berhampiran bilik mesyuarat.

“Ana sudah kering sabar. Ana rasa, kita buang saja pelajar ini. Kes-kesnya bukan kecil. Malah sampai memukul pelajar sekolah menengah kebangsaan” suara mudir berderau garau.

“Saya setuju. Dengan rekod begini, Pejabat Pelajaran Daerah pun akan menerima tindakan kita membuang pelajar ini” cikgu disiplin pula bersetuju.

“Tapi ana tak setuju,” terdengar satu suara membantah. Dia kenal suara itu. Itu suara ustazah Fauziah.

“SPM lagi satu minggu. Setelah habis SPM, murid ini akan menduduki SMU pula. Berilah dia peluang,” lembut dan penuh pengharapan suara Ustazah Fauziah.

“Saya dah tak larat. Ustazah bolehla cakap sebab tak terlibat dengan soal disiplin. Tapi saya ni yang separuh gila melayan karenah pelajar ni. Setiap hari ada sahaja kerenahnya. Bergaduh sudah tentu. Lebih padah bila bapa murid yang dipukul itu datang menyerang saya disekolah,”guru disiplin membantah keras pandangan ustazah Fauziah.

“Ikutkan saya, masa dia tingkatan 3 lagi saya dah buang dia,” sambungnya lagi.

Dia terdiam. Terpaku mendengar perbahasan hangat itu. Boleh dikatakan semua guru yang hadir bersetuju dia dibuang sekolah meskipun SPM tinggal lagi seminggu. Guru-guru sudah cuak dengan perangai dia. Sudah muak dan mual. Hanya ustazah Fauziah yang masih cuba membela. Dan segalanya berubah apabila ustazah Fauziah berkata :

“Ana mengharapkan, selama dia berada dalam sistem pendidikan, dia akan terus mendapat sedikit titisan ilmu, apatah lagi di sekolah menengah agama yang mengajarkan agama. Moga-moga ada satu saat, yang kita tidak tahu bila, masuk satu ilmu yang berkat yang mampu mengubahnya. Namun sekiranya kita menyingkirkan dia dari sistem pendidikan, maknanya kita sengaja membiarkan dia terus terkontang kanting dan terus dengan hidupnya yang tidak keruan. Dan pabila itu terjadi, sedikit sebanyak kita juga punya saham kerana menghalaunya kelorong gelap. Dan ana tak sanggup memikul kesilapan ini dihadapan Allah di akhirat nanti. Betul dia salah. Tapi kita ini pendidik harus sabar. Adanya pelajar seperti itu sebenarnya ujian dari Allah kepada kita warga murabbi. Izinkan pelajar ini terus di sini sehingga selesai pelajarannya. Sesudah itu terpulang pada dia memilih jalan hidup. Tugas kita selesai dan insya Allah, kita mampu menjawab pabila kelak ditanya Allah.,”

Begitu murni hati ustazah Fauziah. Dan setitis ilmu berkah itu pantas menerjah kelubuk hati dia. Terharu kerana ada orang masih mahu membela dia.

Mulai hari itulah dia berubah. Berubah bukan kerana ketegasan undang-undang yang mahu menghukumnya, tetapi kerana kelembutan hati seorang yang sedar betapa besarnya dan luasnya usaha dakwah. Hari ini, dia pula berdiri sebagai pendidik. Mengumpul segala pengalaman silam, diadun dalam satu acuan, dan………sedaya upaya untuk tidak menghukum. Setiap manusia harus ada peluang untuk berubah.

“Terima kasih ustazah….,” hatinya melafaz syukur……

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HARI JADI GURU BESAR

2009 DALAM KENANGAN

DIKIR BARAT SKSD

SAJAK MERDEKA LOGHAT TERENGGANU

ORANG BERBUDI KITA BERBAHASA

MULIANYA SEORANG IBU

HATI ADALAH CERMINAN DIRI

SURAT SEORANG IBU

BUDI BAHASA AMALAN KITA