Khamis, Februari 12, 2009

KIRI

KIRI-hasil nukilan Tabtibau

“Itu bukan berjuang. Itu mengemis”

Nordin membentak. Matanya tajam menikam mukaku. Anak matanya bergerak-gerak halus. Tampak jelas semangat yang membuak-buak dalam dirinya.

“Nak kata mengemis pun tak layak bagi aku. Itu jilat kaki orang putih namanya”

Nordin menunding-nunding jari jelunjuknya ke permukaan meja kayu yang berurat kasar. Marah benar dia bila aku membicarakan soal perjuangan satu parti politik untuk memerdekakan Tanah Melayu. Perbualan yang asalnya hanya sekadar mengisi ruang kosong sambil menghirup segelas teh nampaknya menjadi satu forum perjuangan yang serius. Forum mencari apa erti sebenar sebuah perjuangan.

“Kenapa engkau kata itu sebagai mengemis. Susah payah Tunku Abdul Rahman berunding. Menentang Malayan Union. Bergadai harta benda untuk ke London meminta kemerdekaan Tanah Melayu. Itu bukan perjuangan lagi ke?”

Aku cuba mencungkil lagi inti semangat yang menunjangi pendirian Nordin. Nordin yang aku kenal sedari kecil sememangnya punya roh yang kuat untuk bicara soal sebegini. Ketika di sekolah menengah, sewaktu tingkatan 4 rasanya, dia sanggup bertekak dengan guru sejarah. Juga soal perjuangan.

“Perkataan meminta tu yang aku tak suka” Nordin membetulkan duduknya. Mencari keselesaan.

“Kenapa perlu meminta? Ini tanah kita. Ini hak kita. Ini pusaka nenek moyang kita. Orang putih tak ada hak langsung untuk duduk berdiri atas tanah ini apatah lagi hendak menjadi tuan. Datang tak berjemput alih-alih berlagak seperti tauke” Suara Nordin semakin meninggi. Beberapa pelanggan di warung kayu Pak Leh menjeling. Ada juga yang mencuri memasang telinga. Berminat dengan kata-kata Nordin yang berkobar-kobar. Lagak ahli politik.

“Habis tu, siapa yang engkau nak iktiraf sebagai pejuang?”

Aku cuba memancing lagi. Memang seronok berbual dengan orang sebegini. Adakalanya, kata-katanya boleh memberi ilham. Boleh mengembangkan pemikiran kesudut yang lain.

“Dr Burhanuddin Helmi, Ibrahim Yaakub, Ahmad Bustamam. Ini sebahagian nama besar pejuang”

“Shamsiah Fakeh, Abdullah CD, Abu Samah Kassim, Ibrahim Chik, Rashid Maidin dan teman-teman dalam PKM, AWAS, semua ini pejuang. Mereka tidak meminta tapi menghalau penceroboh. Mengusir perampas. Malahan mereka tetap Islam walaupun menyertai komunis”

Aku terkesima apabila Nordin menyebut nama-nama yang dianggap berhaluan kiri. Nama –nama yang dianggap penghalang kemerdekaan negara suatu ketika dahulu.

“Engkau kiri ke Nordin?” Aku bertanya sopan.

“Kiri adalah racun penjajah. Pejuang kita dianggap kiri. Penjajahlah yang kanan kononya. Jangan kau sambung lidah penjajah” Nordin kembali merenung mata aku. Gentar juga jantung.

“Engkau kenal siapa Abu Samah Kassim?”

Satu lagi persoalan dilemparkan. Dengan hujahnya yang berapi-api tadi, aku semakin hilang tapak untuk cuba menjawab walaupun aku tahu, Abu Samah Kassim merupakan bekas pemimpin PKM. Aku tinggal diam tidak menjawab.

Melihat aku hanya mampu merenung matanya yang bersemangat itu, Nordin memberitahu “ Abu Samah Kassim tu cucu Datuk Bahaman, Orang Kaya Semantan. Datuknya dulu dah berjuang menentang penjajahan British. Darah juangnya itu menyusup masuk kedalam diri Abu Samah Kassim. Dengan jurai yang sebegini, bolehkah kita menganggap bahawa Abu Samah Kassim tidak tahu apa yang diperjuangkan?”

Aku semakin hilang kata-kata.

“Engkau tahu, bertahun-tahun sebelum merdeka baru nak dirundingkan, nama-nama tadi dah pun berjuang untuk tanah melayu. Dah pun bermandi darah untuk menyelamatkan hasil perut bumi Tanah Melayu. Mereka berjuang demi bangsa. Tiada kepentingan peribadi. Mereka menyanjung amanat nenek moyang. Menyanjung pusaka turun temurun”

“Tapi bagi aku, Tunku lebih bijak. Allahyarham dapat merundingkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah. Tiada darah yang mengalir. Segala-galanya dikembalikan pada kita. Kita boleh mentadbir sendiri. Boleh menentukan hala tuju. Kemajuan hari ini batu asasnya kemerdekaan yang diusakan oleh allahyarham”. Aku cuba berhujah sedikit. Berhujah sambil memasukkan lagi bara kedalam jiwa Nordin yang sedang membakar.

Nordin tidak terus menjawab. Dia mengeluarkan sekotak rokok Dunhill. Diambil sebatang dan diselitkan dicelah bibirnya yang lebam. Pada kotak rokok tersebut jelas tertera British and American Tobacco. Aku hanya mampu tersenyum sinis. Asap berkepul keluar dari mulut dan hidung Nordin.

“Engkau tahu….”

Nordin menyambung kata-kata. Barangkali, asap rokok telah memberi ilham padanya. Seolah-olah asap itu membantu otaknya untuk bekerja.

“Kenapa orang putih bagi kita merdeka?”

Satu soalan dilemparkan kepada aku. Tapi itu soalan yang tidak memerlukan jawapan kerana jawapannya sememangnya telah siap didalam pemikiran Nordin. Oleh itu, aku lebih cenderung untuk mengatakan “Tak Tahu”. Sememangnya itu yang diharapkan oleh pemikir seperti Nordin.

“Sebabnya segala harta benda khazanah perut bumi Tanah Melayu dah habis disedut. Bijih timah dah licin disesah dek orang putih.” Nordin sengaja menekan suara untuk menegaskan kata-katanya. Setiap kata diluahkan satu persatu.

“Kurun ke 19 Eropah sedang mengalami revolusi industri. Tunjang revolusi itu ialah industri pengetinan makanan. Bahagian dalam tin disalut timah untuk mengelakkan karat. Dari mana datang timah tu?” Nording menggantung kata-kata setakat itu. Dia diam seketika sambil menjentik habuk dihujung rokoknya.

“Dari Tanah Melayu”

Nordin meninggikan suaranya. Matanya dijegilkan tepat ke mataku.

“Orang putih sedut habis bijih. Bila diorang tertekan dengan suara-suara yang dianggap kiri tadi yang minta kemerdekaan, orang putih pun bawak masuk buruh dari China dan India. Nak percepatkan proses pengeluaran bijih”

“Bila dah habis, kebetulan ada yang baik nak minta merdeka. Orang putih bagilah. Tapi bukan bagi kosong. Ada syarat serampang dua mata. Nak merdeka boleh, tapi kena terima buruh Cina dan India jadi warganegara. Jus solly. Jimat kos penghantaran balik”

Aku sedikit terkejut. Tapi aku pendamkan perasaan tersebut. Tak sangka Nordin berfikiran begitu. Sejauh itu dia menilai penjajah. Benci benar dia pada orang putih. Setelah hampir 50 tahun merdeka, masih ada individu yang terluka dengan sejarah. Barangkali, Nordin ada darah pejuang, fikirku sendiri.

Air diatas meja kayu sudah lama sejuk. Aku mempelawa Nordin minum. Ulahnya seperti mahu menyambung hujah, namun terbantut bila aku menyatakan air sudah sejuk.

Aku melihat jam. Hampir pukul 7 malam. Sebentar lagi azan maghrib akan berkumandang. Aku memohon untuk pulang walau pada hakikatnya, aku ingi sekali bersembang lebih panjang dengan Nordin. Bicara soal perjuangan. Perjuangan dari perspektif mereka yang kiri.

Malam itu, sebelum tidur, kata-kata Nordin berlegar dalam fikiran aku. Seolah-olah aku sendiri mencari titik hujahnya. Mencari kerana solah-olah ada benarnya. Terkadang, terselit rasa kagum pada Nordin. Kagum kerana didalam jiwanya ada satu perasaan yang kuat. Perasaan cintakan bangsa dan Negara. Namun, luruskah haluannya? Aku terus tertanya-tanya. Akhirnya, aku tidur untuk mengakhiri hari tersebut dengan satu persoalan yang tak terjawab. Siapa yang benar?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HARI JADI GURU BESAR

2009 DALAM KENANGAN

DIKIR BARAT SKSD

SAJAK MERDEKA LOGHAT TERENGGANU

ORANG BERBUDI KITA BERBAHASA

MULIANYA SEORANG IBU

HATI ADALAH CERMINAN DIRI

SURAT SEORANG IBU

BUDI BAHASA AMALAN KITA