Khamis, Februari 12, 2009

MINTA

Hasil Nukilan TABTIBAU

Dia termenung ditepi jalan. Rumput hijau yang dipijak tidak lagi dirasakan lembut. Hanya kerikilan batu tajam serasa menyucuk-nyucuk tapak kakinya yang semakin menipis. Jalan tar hitam pekat melintang dihadapan. Sesekali melintas kereta, laju. Setiap kali itulah hatinya hampa kerana dia mengharapkan ada kereta yang berhenti dan melemparkan cebisan roti, atau apa-apa yang boleh dimakan. Namun harapannya belum termakbul setakat ini. Matanya menyorot jauh nun diselekoh. Mengharap ada lagi kenderaan terjongol dihujung selekoh itu.

Sejak mentari mula memecahkan cahaya tadi, hinggalah matahari sudah tegak di kepala, tidak ada sebuah kereta pun yang berhenti. Kalau ada pun tadi, sekadar berhenti, dan anak-anak kecil didalamnya nampak gembira bila melihat ulahnya berlari-lari anak menuju kearah kereta tersebut. Sejurus sebelum sampai, kereta tersebut berlalu pergi. Dia hanya mampu melihat dengan kehampaan. Lapar lagi dia.

Dia melabuhkan punggung kembali ke tanah. Sedikit keluhan telampias dari dadanya yang sendat. Dalam kekosongan itu, mindanya mula mengelamun. Mengimbau cerita-cerita lama. Sekadar untuk melupakan sejenak perutnya yang semakin kosong.

Tatkala termenung itulah, dia terkenang ketika dia masih kecil. Masih merah bergayut diperut ibunya. Ke jalan itulah yang selalu dibawa ibunya.

“ Ibu, kenapa kita selalu menunggu di sini?”

“Anak, disini ramai orang yang pemurah. Kita tak perlu masuk jauh kedalam hutan untuk mencari makanan. Kita tidak perlu bersusah payah memanjat pokok-pokok tinggi untuk mencari buah-buahan yang belum tentu masaknya lagi” ibu menjelaskan.

“Di sini, kita hanya perlu duduk. Sebentar lagi, pasti ada yang pemurah yang akan memberikan kita makan. Kita bertuah kerana ada jalan yang sebegini di sini.”

Dari kejauhan, nun dihujung selekoh, sebuah kereta merah perlahan-lahan menghimpit ke bahu jalan.

“Anak, tengok tu. Si pemurah sudah tiba”

Pantas dia merangkul kebawah perut ibunya. Perlahan-lahan si ibu berjalan kearah kereta yang semakin perlahan. Beberapa ekor monyet lain yang berada diseberang jalan juga nampak gopoh. Terburu-buru melintas jalan menuju kereta merah yang belum lagi berhenti.

Kereta merah semakin perlahan. Akhirnya berhenti berhampiran batu bertulisan “ENDAU 35 KM”. Monyet-monyet yang kelaparan sudah mengerumuni kereta tersebut. Namun tidak berani untuk berada terlalu dekat. Hanya sekadar berlegar-legar beberapa kaki dari kereta.

Belum pun sempat pintu dibuka, kedengaran keriuhan dibahagian belakang kereta. Beberapa ekor monyet jantan sudah mula bersengketa. Masing-masing ingin menguasai sesuatu yang bakal diberi oleh pemandu kereta tersebut walaupun belum tahu lagi apa yang akan dihumban kepada mereka. Dua ekor jantan muda sudah bergomol. Debu berterbangan akibat pergaduhan itu. Sebentar kemudian keadaan kembali reda apabila jantan yang lebih muda barangkali, berlari melintas jalan dan terus ke dalam hutan dengan kaki yang terhincut. Itu biasa. Pasti ada pergaduhan apabila ada kereta berhenti. Dan pasti juga ada yang terluka.

Seorang lelaki muda membuka pintu. Ditangannya terjinjing sebuah beg plastik. Monyet-monyet sudah semakin tidak sabar. Perut yang berkeroncong perlu diisi. Siibu tadi juga begitu. Anaknya yang masih merah perlu diberi makan.

Perlahan pemuda itu membuka plastik. Kemudian, dia mula melemparkan roti-roti yang hampir kering. Berebutlah monyet-monyet kelaparan tadi. Si ibu sempat mencapai beberapa keping roti. Ketika hendak menyuapkan kemulut, datang seekor jantan yang entah dari mana, cuba merampas roti. Namun, siibu pantas melarikan diri kedalam semak ditepi jalan. Kemudian terus memanjat sebatang pohon yang agak tinggi. Disitu, dia menikmati sepuas-puasnya roti kering yang dirasakan cukup nikmat itu bersama anaknya yang masih kecil.

Si kecil itu mula faham, mengapa ibunya selalu membawanya ke tepi jalan sejak di berumur sehari lagi. Di situ ada manusia yang bermurah hati. Orang yang suka memberi. Dia diajar untuk menunggu dan meminta sejak usia sehari.

Sayup-sayup kedengaran keriuhan. Pastinya monyet-monyet itu bergaduh lagi.

Sejak itu, setiap hari dia bersama ibunya tercongok ditepi jalan. Menunggu untuk meminta.

Terdengar dari kejauhan enjin kenderaan bergema. Lamunannya berterbangan. Dia kembali kealamnya hari ini. Perutnya semakin terasa lapar. Lamunan mengenangkan ibunya yang telah lama tiada hilang apabila dia terpandang dari kejauhan sebuah kereta meluncur laju. Kereta yang pada mulanya dilihat kecil, semakin membesar dan menghampir. Dia bangun. Badanya yang kurus terketar-ketar. Tangan dan kakinya seolah-olah sudah tidak mampu menampung beratnya. Sudah beberapa hari dia tidak makan. Matanya sayu memandang kereta yang semakin mendekat. Hatinya berharap-harap, agar sipemurah singgah hari ini.

Sejurus kemudian kereta semakin hampir. Namun tidak nampak ulahnya seperti mahu berhenti. Perlahan pun tidak. Matanya sayu mengharapkan sesuatu. Akhirnya, kereta tersebut berlalu melintas didepannya. Hanya meninggalkan asap yang menyendatkan dada.

“Sudah la tu nyet”

Monyet tua itu tersentak. Hilang seketika kekecewaannya apabila disapa begitu. Dia menoleh mencari-cari arah datangnya suara.

“Jangan diharap pemberian manusia sahaja. Pergilah ke bukit sana. Pokok bunut senang ranum buahnya. Di sana banyak makanan”

Dia mendongak. Di atas dahan ara yang merendang, bertenggek seekor enggang paruh putih. Dia melemparkan senyum tawar.

“Sedari kecil aku diajar meminta di sini. Ibuku tak pernah bawa aku jauh dari jalan ini. Jalan inilah nadi kehidupan aku” monyet tua bersuara. Ada sedikit getaran. Mungkin kerana lapar.

“sampai bila engkau nak meminta-minta, nyet. Ketika manusia bermurah hati, mungkin engkau kenyang. Tapi kalau manusia dah semakin lupa, macam mana? Tengok sahaja sejak kebelakangan ni, apa yang kamu dapat?” Enggang meloncat kedahan yang lebih rendah. Paruhnya putih bersih. Bulunya hitam berkilat. Sihat betul dia.

“Ibuku tak pernah ajar aku untuk mencari makan sendiri. Aku tak tahu buah mana yang boleh dimakan. Aku tak tahu daun mana yang tidak beracun. Aku tak boleh menilai dahan mana yang kukuh untuk aku bergayut. Aku hanya tahu untuk meminta-minta di jalan ini”

“Hutan ini luas. Pergilah cari makanan sendiri. Didalam sana banyak makanan. Buah ara, buah bunut, salak, keranji, petai, durian hutan. Macam-macam lagi. Pergilah. Kalau tidak engkau akan mati di sini”

“Tak apalah. Biar aku mati disini” dia berkeras dalam kelemahan. Suaranya semakin kendur. Urat tuanya sudah semakin membisa. Dia berjalan perlahan ketepi semak berhampiran batu bertulisan ENDAU 35 KM. Sebentar kemudian dia bertenggek diatas kayu reput hitam. Merehatkan tubuh tuanya sambil berharap.

Enggang menggeleng kepala. Dia melihat ulah monyet dengan hati yang kesal. Kesal kerana dia tersalah ajar. Tersalah ajar untuk hanya meminta. Tersalah ajar untuk tidak berusaha. Sejurus, enggang terbang menuju ketengah hutan. Menuju bukit yang menjanjikan sejuta hidangan untuknya tengah hari itu.

Sebuah lori usang terhenjut-henjut memasuki bahu jalan. Perlahan-lahan lori itu berhenti. Bunyi enjin tua yang membingitkan itu tidak langsung menggerakkan tubuh monyet tua. Seorang lelaki membuka pintu dan melangkah keluar. Sebaik menutup pintu, dia berjalan kebahagian belakang lori. Mukanya sedikit berkerut. Hairan. Kedatangannya hari ini tidak seperti setahun yang lalu. Tiada monyet yang menyambutnya.

Ketika tangannya dihulur untuk mengambil plastik di belakang lori, matanya terimbas sesuatu berhampiran batu bertulis ENDAU 35 KM. Dia fokus kepada objek tersebut. Perlahan dia melangkah untuk melihat dengan lebih jelas.

“Laaa…kesiannya…”

Hanya itu kata-kata yang terluah. Dia mencangkung menghadap tubuh seekor monyet tua yang sudah jarang-jarang bulunya. Perut yang kempis itu diam. Tidak langsung bergerak. Mata sudah terpejam. Hayat monyet tua bermula dan berakhir disisi batu ENDAU 35 KM.

1 ulasan:

  1. Teringat plak dok ulang-alik dr kg ke Mersing...
    Selalu lalu jalan tu tapi x pernah laks terpikir pasal kera2 tu.. Prihatin sungguh sang Arjuna Tabtibau...

    BalasPadam

HARI JADI GURU BESAR

2009 DALAM KENANGAN

DIKIR BARAT SKSD

SAJAK MERDEKA LOGHAT TERENGGANU

ORANG BERBUDI KITA BERBAHASA

MULIANYA SEORANG IBU

HATI ADALAH CERMINAN DIRI

SURAT SEORANG IBU

BUDI BAHASA AMALAN KITA