Khamis, Februari 12, 2009

SEPASANG KASUT

NUKILAN TABTIBAU

Setiap hari yang aku lalui sepanjang hayat ini memberi persepsi yang pelbagai terhadap nilai kehidupan yang sebenar. Namun, aku masih mencari apa makna sebenar kehidupan. Jika hari ini aku merasa aku berjaya dalam hidup hanya kerana memasuki universiti, namun keesokannya aku merasa berada di universiti bukanlah satu kejayaan. Jika hari ini aku merasa berjaya setelah diterima dan memiliki pekerjaan tetap, namun keesokkannya aku merasakan pekerjaan bukan nilai kejayaan. Setiap hari, pasti lahir persepsi baru. Dan kita akan terus belajar dari situasi yang kita lalui dari detik ke detik. Dari saat ke saat. Setiap gerakkan jarum saat mengandung sejuta peristiwa dan rahsia. Tinggal lagi diri kita untuk cuba merungkai dan memahami situasi. Dan mencari rahsia disebalik sejuta rahsia.

Apatah lagi apabila setiap hari aku mengadap dan menatap wajah-wajah kecil anak muridku. Setiap mereka punya cerita tersendiri. Dan cerita itu banyak mengajar aku erti kasih sayang. Erti persaudaraan. Erti simpati dan empati. Dan yang paling penting, membuatkan aku menemui kembali sesuatu yang telah lama hilang dari diri aku. Air mata.

Biar aku bingkiskan tentang seorang ini. Seorang murid yang aku tidak kenal tetapi kini aku amat memahaminya. Segalanya bermula apabila aku menegur kasutnya yang telah koyak. Dengan benang-benang yang telah kelihatan seperti rerambut, hitam dan kotor. Kali pertama melihatnya, terdetik secara tidak sengaja didalam hati, ayah dia tidak nampakkah kasut anaknya sudah koyak? Tak kesiankah dia melihat anaknya ke sekolah dengan kasut yang lebih layak di tong sampahkan? Memang tidak bertanggung jawab ayah budak ini. Ada mata tapi tidak melihat. Getus hati aku. Dan mata meluahkan sinar seakan benci apabila melihat murid selekeh itu.

Setelah sekian lama, mungkin sekitar beberapa hari, aku menjadi semakin mual. Lantas, aku memanggilnya dan bertanya dengan sedikit kasar dan suara yang sedikit tinggi, kenapa tidak dibeli sahaja kasut yang baru? Dia menjawab dengan spontan “kasut ini ayah yang beli”. Aku memandang mukanya. Dia tunduk memandang kasutnya. Memandang dengan penuh sayang. Seakan jiwanya terletak pada kasutnya.

Pada mulanya aku tidak mengerti langsung kata-kata itu dan aku tidak pernah cuba untuk mendalami sesuatu disebalik kalimah tersebut. Hinggalah suatu hari, beberapa hari selepas perbualan aku dengan murid tersebut, aku mendapat tahu bahawa ayahnya telah meninggal dunia beberapa bulan lepas kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Ayahnya diseret oleh sebuah bas dan meninggal ditempat kejadian. Serta merta hatiku sebak. Air mata lelakiku tak tertahan lagi. Ayat “kasut ini ayah yang beli”rupanya satu luahan kerinduan dari seorang anak. Manifestasi dari jiwa mentah yang teramat dambakan seorang lelaki yang selama ini memanjai dirinya. Anak itu sedang dan masih bersedih.

Apa jadi pada aku? Aku tidak boleh langsung melihat kelibat murid itu. Setiap kali batang tubuhnya terbias kedalam mata hitam ku, pasti dengan segera menyentap ulu hati dan menyebakkan dada. Mataku mula kelabu digenangi air mata simpati. Apatah lagi jika aku terpandang kasut usang yang masih tetap dipakainya dengan sepenuh jiwa raga. Dengan sepenuh penghayatan bahawa “kasut ini ayah yang beli”. Apakah dia tidak tahu bahawa ayahnya sudah tiada lagi? Dia tahu. Apakah dia tidak tahu bahawa ayahnya tidak akan lagi pulang dan bermain dengannya dirumah? Ya, dia tahu. Apakah dia tidak faham bahawa dia kini sudah yatim? Ya, dia faham malah lebih faham berbanding kita.

Tapi kenapa dia masih memakai dan tidak mahu menukar sepasang kasut yang semakin usang itu? Kerana kasut itu ayahnya yang beli.

Dari saat itu, aku sentiasa dibayangi sesalan. Sesal kerana terlalu memandang serong terhadap arwah ayahnya. Dan yang paling aku sesali, aku hanya melihat kasut itu sebagai kotor dan memualkan. Sedang aku tidak pernah cuba untuk melihat nilai disebalik kasut yang satu itu. Atau aku mungkin leka dengan sedikit nikmat yang telah tuhan kurniakan pada aku, hingga aku memandang jijik pada orang yang kurang bernasib baik. Hanya kerana aku memakai kasut yang tidak koyak.

Adakah aku telah berjaya memahami muridku? Tidak. Malahan aku tidak akan berjaya. Kerana setiap mereka punya cerita sendiri. Tapi kini, aku semakin memahami hakikat kehidupan. Hakikat bahawa, air mata akan menghidupkan jiwa. Dan kini, aku sudah punya air mata. Air mata untuk terus menghayati hakikat kehidupan.

1 ulasan:

  1. Insaf rasanya... Betul2 tersentuh...
    Air mata akan menghidupkan jiwa... Cayalah...

    BalasPadam

HARI JADI GURU BESAR

2009 DALAM KENANGAN

DIKIR BARAT SKSD

SAJAK MERDEKA LOGHAT TERENGGANU

ORANG BERBUDI KITA BERBAHASA

MULIANYA SEORANG IBU

HATI ADALAH CERMINAN DIRI

SURAT SEORANG IBU

BUDI BAHASA AMALAN KITA